Kes seorang remaja berusia 15 tahun, Aminulrashid, ditembak oleh anggota polis pada larut malam telah menimbulkan pelbagai kontroversi dan ketegangan antara masyarakat dan pihak berkuasa. Orang awam semakin bimbang akan wujudnya keadaan harapkan pagar, pagar makan padi di negara kita kini, sama ada kita masih dapat memberi kepercayaan 100% kepada pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan anak-anak kita di luar rumah. Persoalannya, kalau tak nak “mengharapkan pagar”, kenapa dibiarkan keselamatan anak-anak terdedah di luar rumah?
Gejala melepak pada lewat malam diberi tumpuan susulan daripada peristiwa ini, seperti yang diketengahkan di akhbar The Star. Tinjauan mendapati walaupun kebanyakan ibu bapa melarang anak-anak mereka keluar rumah pada larut malam, mereka masih dijumpai di pelbagai hotspot melepak, seperti kedai makan 24 jam, kafe siber atau mana-mana tepi jalan pun ramai juga!
Kata melarang, tapi masih ramai lagi yang melepak di luar. Macam mana tu? Bertentangan amat dua perkara ni. Apa yang dapat kita katakan adalah ramai ibu bapa masih lagi bersikap endah tak endah akan kegiatan anak-anak mereka. Dari kes membuang bayi hinggalah kes ini, ramai yang beranggapan anak-anak sekarang ini kurang diberi perhatian. Yalah, walaupun sibuk mengejar harta kekayaan, janganlah sampai mengabaikan kepentingan anak-anak kan?
Keadaan di persekitaran sepatutnya sunyi selepas larut malam, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kehadiran remaja, terutamanya di bandar, memeriahkan lagi suasana persekitaran pada larut malam. Bukan saja di kafe siber dan kedai makan 24 jam, malah tak kurang juga yang melepak di tepi jalanan. Ramai juga yang menunggu larut malam untuk menjalankan “kegiatan biasa” mereka, seperti merempit dan aktiviti tidak sihat yang lain.
Bukanlah nak kata ibu bapa harus mengawal atau mengongkong setiap pergerakan anak mereka, cuma, ibu bapa perlulah luangkan masa untuk memahami anak-anak mereka, contohnya masalah yang dihadapi, kegiatan mereka, kehidupan sosial dan pergaulan mereka dengan rakan-rakan.
Daripada kajian yang dijalankan oleh James Nagayam, pengarah eksekutif Shelter Malaysia, kita dapat tahu bahawa kebanyakan remaja gemar meluangkan masa mereka bersama rakan-rakan sehingga larut malam (pengakuan 80% daripada 3000 responden kajian). Walaupun dilarang, remaja tetap akan mencari “jalan” untuk keluar rumah. Sebenarnya, kalau dah duduk serumah tu, takkanlah susah sangat nak ambil tahu kalau anak keluar rumah kan?
Ibu bapa perlu faham bahawa remaja memerlukan ruang persendirian mereka dengan kawan-kawan untuk berkongsi masalah. Keinginan remaja untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan rakan mereka juga mengikat mereka bersama. Kiranya, kalau ada yang nak lepak sampai larut malam, yang lain pun akan ikut juga kerana tak nak dipinggirkan. Kalau ada yang berkenan untuk bermain di kafe siber, kemungkinan semua dalam kumpulan itu akan ikut. Keadaan ini lebih kerap berlaku sekiranya hubungan antara ibu bapa dan anak renggang.
Dengan siapa mereka bergaul juga harus menjadi persoalan. Memandangkan remaja banyak menghabiskan masa dengan teman-teman, perwatakan, minat, sikap dan cara mereka membawa diri sedikit sebanyak pasti dipengaruhi. Kalau ibu bapa bimbang siapa yang sering mendampingi anak-anak mereka, kenapa tak bersikap lebih prihatin dengan mengambil tahu? Rasanya taklah susah mana cuba untuk mengenali rakan-rakan anak mereka, kan? Kadangkala, kita dapat mengenal remaja itu dengan lebih dekat jika kita kenal rakan-rakan mereka.
Namun, kebebasan mereka perlu ada batasnya. Untuk melukis garis sempadan yang jelas agar diterima pakai oleh kedua-dua pihak (anak-anak dan ibu bapa), hubungan kekeluargaan yang rapat dan mesra antara remaja dan ibu bapa perlu diwujudkan. Mak ayah asyik sibuk bekerja atau kurang beri perhatian pada anak-anak, macam mana nak memahami mereka? Balik rumah pun lewat, jumpa hanya pada waktu malam. Kalau itulah keadaannya, kenapa tak gunakan masa yang ada untuk menunjukkan kasih sayang terhadap anak-anak dan cuba untuk memahami isi hati mereka? Cubalah dapatkan kepercayaan mereka agar dapat menjadi “kawan baik” mereka. Dengan hubungan yang rapat, remaja nak keluar tanpa pengetahuan pun dia akan rasa lebih bersalah, kan?
Yang nyata, kes remaja ditembak telah menjadi ‘wake up call’ untuk menyedarkan ibu bapa di luar sana agar lebih berwaspada terhadap keselamatan dan keadaan anak mereka di luar rumah. Luangkanlah lebih masa dan berilah lebih perhatian terhadap remaja-remaja ini agar mereka dapat menjadi insan yang berguna, insan yang dapat membezakan baik dan buruk. Apapun, melentur buluh biarlah dari rebungnya, kan?
































Satu Pautan
[...] sini untuk terus [...]