Apakah jangkaan anda apabila menyertai 3R?
Raf: Semasa saya pergi untuk ujibakat 3R, saya fikir rancangan ini akan menjadi rancangan wanita biasa saja, dan peranan saya pula ala-ala VJ MTV! Tapi nyata rancangan ini lain dari yang lain iaitu membincangkan isu-isu serius dalam cara yang menghiburkan. Hos-hos pula perlu mendalami setiap isu dan berkongsi pengalaman dan pendapat mereka. Kadangkala susah juga sebab saya seorang yang sangat peribadi (private), tapi lama-lama jadi biasa.
Celina : Setahu saya memang tak banyak yang dapat dijangkai sebab saya sendiri pun tak terdedah kepada dunia hiburan, kalau mengenai dunia kejuruteraan kimia tu adalah lebih kebiasaan sikit. Saya cuma ingat pada masa tu saya lebih memberikan fokus kepada cara-cara untuk memperbaiki diri saya dari segi kemahiran presentasi kepada kamera, memahami hal-hal produksi, dan juga menulis skrip. Tapi kalau dilihat balik, saya masih ingat lagi perkara yang paling tidak dijangkakan ialah populariti samalaman bila episode pertama dengan saya sebagai barisan hos 3R terbaru disiarkan. Malu la jugak bila sambil berjalan di tepi jalan, orang sekeliling memandang-mandang dan tersengih-sengih semacam.
Kartini: Semasa mula mula menyertai 3R, Tini tak ada apa apa expectation pun kerana Tini tak pasti tentang penerimaan penonton dan warga kerja 3R terhadap Tini. Lagipun semasa tu Tini bertugas sebagai juru audit di sebuah syarikat perakaunan, jadi dua bidang yang berbeza, Tini pun nak lihat sama ada diri Tini sesuai atau tidak dengan dunia penyiaran. Alhamdulilah kini dah nak dekat 6 tahun Tini bersama 3R, Tini tak kesal lansung dengan keputusan meninggalkan bidang perakaunan.
Adakah ia telah mengubah persepsi anda terhadap persekitaran seperti isu wanita, isu social dan lain-lain?
Raf: Sebelum menyertai 3R saya memang meminati isu-isu sosial, tapi selepas menjadi hos rancangan ini kesedaran saya meningkat seratus kali ganda. Saya dapat berjumpa dengan pelbagai ragam manusia dan mendengar kisah hidup mereka. Contohnya bertemu dengan orang yang HIV positif, orang pelarian, mangsa keganasan rumahtangga, dan lain-lain lagi. Setiap orang ada kisah mereka sendiri dan saya telah banyak belajar dari mereka. Saya juga menjadi lebih peka tentang peranan saya sendiri sebagai ahli masyarakat. Manusia bukannya hidup seorang, masalah orang lain sikit sebanyak masalah kita juga..
Celina: Sebenarnya, sehingga sekarang persepsi saya terhadap su-isu sosial wanita dan umum masih sama seperti dulu. Bagi saya, seolah-olah tidak susah bagi saya meletakkan diri saya dalam situasi seseorang yang sedang menghadapi sesuatu isu itu. Yang paling penting sekali, asalkan kita membuka minda dan mata kita dan faham hak-hak kita, kita akan dapat cuba mencari pelbagai cara penyelesaian dalam isu-isu yang kita hadapi.
Kartini: 3R banyak mengubah persepsi Tini terhadap banyak isu. Kini Tini rasa lebih sensetif terhadap isu-isu gender dan keperkasaan wanita. Bukan itu saja, 3R banyak membuka peluang untuk bekerja dengan badan kebajikan. Sekarang, Tini lebih peka terhadap isu social dan kebajikan. Malah bila kita lakukan kerja sukarelawan ni , kepuasaannya lebih bermakna.
Pada pendapat anda, adakah persekitaran kini menjadikan wanita kini lebih dilindungi dari segi hak asasi, cara media melihat wanita, keluarga dan lain-lain.
Raf: Sekarang memang ramai wanita di Malaysia yang berada di tangga teratas, sama ada dalam bidang politik, ekonomi, teknologi dan lain-lain lagi. Tapi, tak bermakna yang kita tak perlu lagi perjuangkan hak wanita. Masih ramai yang tidak menghormati wanita sebagai manusia. Buktinya, kes-kes gangguan seksual, rogol, sumbang mahram, dan lain-lain keganasan terhadap wanita bukan semakin berkurang tapi semakin meningkat. Kenapa? Ini sesuatu yang kita semua mesti fikirkan sebagai sebuah masyarakat.
Celina: Memang tidak dapat dinafikan yang banyak pendedahan yang telah diberikan terhadap hak-hak kesamaan wanita,dan perlu ditegaskan yang pendedahan-pendedahan sebegini memang diperlukan oleh masyarakat. Dan boleh dikatakan yang walaupun perubahannya kecil, masyarakat sekarang boleh melihat sedikit sebanyak perubahan dari segi pelbagai peluang yang terbuka untuk wanita dan juga perlindungan dari segi hak-hak wanita. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna yang pihak media, agensi-agensi terlibat dan masyarakat umum boleh memandang ringan akan isu-isu ketidaksamaan hak wanita sebab suka atau tidak, setiap hari masih terdapat wanita yang menghadapi keganasan, dan tidak diberi kesamaan hak yang sepenuh.
Kartini: Tini rasa persepsi media pada wanita sudah banyak berubah.Ramai wanita yang Berjaya didalam bidang mereka kini ditampilkan dalam media, namum bilangannya masih kurang. Wanita masih lagi memegang watak lemah dalam filem dan drama, malah dalam satu kajian media baru baru ini menyatakan yang tak ramai wanita ditampilkan didalam media sebagai pemberi nasihat/pendapat seperti doctor pakar atau ahli ekonomi, mereka hanya dilihat sebagai penghibur atau selebriti.
Kini ramai yang faham dan tahu akan hak sebagai wanita tapi kita masih lagi jauh dalam perjuangan terutama sekali dalam hak-hak yang sama. Kita tak boleh capai semua ni kalau pihak lelaki tak bekerjasama, contohnya seorang ibu berkareer mungkin tidak dapat mencapai cita-citanya sekiranya tiada sokongan si suami dalam soal penjagaan anak dan menolong hal-hal dirumah. Kalau si isteri selama ini boleh berkorban masa dan tenaga untuk si suami kenapa si suami tidak? Tolong menolong lah.
Adakah anda berpendapat bahawa wanita kini masih dilihat dari segi paras rupa mereka?
Raf: Perempuan memang masih dinilai dari segi rupa. Saya sendiri selalu melihat bagaimana perempuan yang biasa saja rupanya, selalu terpinggir berbanding perempuan yang dianggap ‘cantik’ (feminin, bergaya, berkulit cerah, hidung mancung, bulu mata lentik). Malah ramai penonton perempuan yang menulis kepada kami mengatakan yang mereka tiada keyakinan diri sebab mereka rasakan yang mereka tidak ‘cantik’. Kita meletakkan nilai yang tak sepatutnya pada paras rupa sedangkan ada banyak lagi di dalam diri seseorang.
Celina: Tentulah! Definisi kecantikan ni telah lama diterapkan dalam fikiran masyarakat melalui gambaran yang diberikan model-model yang berbadan langsing, kaki panjang, kulit gebu dan putih, dan rambut panjang beralun. Dan masih ramai wanita yang mengunakan gambaran-gambaran ini sebagai tahap yang perlu dicapai oleh mereka supaya mereka akan mendapat perhatian dan juga respek daripada orang ramai. Keadaan ini boleh memudaratkan ramai wanita sehinggakan terdapat kes-kes obsesi dan tekanan untuk mencapai jangkaan masyarakat umum seorang wanita cantik. Pada pendapat saya, masyarakat perlu sentiasa mencabar definisi kecantikan ini, dan tidak memberikan laluan oleh gambaran media massa yang konvensional untuk mempengaruhi konsep kecantikan ini. Mungkin dengan cara ini, wanita akan akan merasa lebih selesa dan konfiden dengan rupa dan badan mereka sendiri tanpa perbandingan.
Kartini: Pastinya wanita dan lelaki sering dihakimi melalui penampilan mereka. Malah kajian ada menyatakan yang kita hanya mengambil 7 saat sahaja sebelum membuat tanggapan pada seseorang. Masyarakat masih lagi menilai wanita itu dari paras rupanya. Mungkin tiba masanya kita melihat lebih jauh dari itu.
Seseorang patut dinilai dari segi lain seperti kejayaannya, pendidikannya atau nilai-nilai yang dipegangnya. Again kita sering stereotaip melalui pakaian dan penampilan. Tak fairkan?
Apakah definisi kecantikan bagi anda?
Raf: Bagi saya, kecantikan sebenar ialah bila kita sentiasa melihat yang terbaik dalam diri kita dan juga dalam diri orang lain.
Celina: Bagi saya definisi kecantikan ini boleh terbahagi kepada dua jenis, iaitu dari segi fizikal dan personaliti. Setiap orang tahu menghargai rupa fizikal yang berlainan iaitu melalui kesukaan masing-masing. Seseorang itu mungkin hanya meminati mata yang besar tapi orang lain pula mungkin lebih menyukai mata sepet. Jadi, kecantikan fizikal sebenarnya memang tertakluk kepada kesukaan individu itu. Dari segi personality pula, saya memang percaya yang seseorang yang konfiden dan boleh menerima serta rasa selesa dengan kebolehan atau kelemahannya itu gerenti akan mendapat perhatian daripada orang ramai.
Kartini: Cantik tu bagi Tini ialah apabila kita berbuat sesuatu yang baik, walaupun sekecil kuman tapi akan membawa impak yang begitu bermakna kepada si penerima. Contohnya, mengucapkan terima kasih dan berbudi bahasa pada semua, atau senyum ketika melayan pelangan atau menderma pada anak yatim walaupun hanya seringgit.
Adakah anda berpendapat bahawa anda seorang yang cantik?
Raf: Ada masanya saya rasa saya cantik, ada masanya tidak. Terpulang kepada pelbagai faktor seperti mood saya dan haribulan (biasalah, badan perempuan berubah ikut bulan). Pengaruh orang lain juga penting – kalau saya berjumpa dengan orang yang mengkritik rupa saya, pasti saya rasa tertekan. Jadi saya cuba menjaga diri dan berkawan dengan orang yang positif dan selalu melihat yang terbaik dalam diri saya.
Celina: Saya rasa kucing Parsi saya lebih cantik daripada saya…setiap kali kawan-kawan saya datang menjenguk, bila tengok kucing saya je, saya seolah-olah dah tak wujud!
Kartini: Cantik tu subjektif, terpulanglah pada individu untuk menilainya. Tini bersyukur dengan kurniaan tuhan, ada deria yang sempurna, mampu berjalan , bekerja dan sihat fizikal mental.
Apakah rahsia kecantikan anda?
Raf: Penjagaan badan – saya mandi menggunakan Dove kerana ia melembapkan kulit saya yang kering. Penjagaan muka – saya cuba menggunakan masker pelembap beberapa kali seminggu (kalau saya ingat!) dan exfoliant untuk membuang sel-sel kulit mati. Penjagaan rambut – selalu gunakan perapi! Dan saya cuba minum air sebanyak mungkin setiap hari untuk kesihatan.
Celina: Sebenarnya regimen menjaga kecantikan saya setiap hari memang ringkas. Setiap hari lepas penat bekerja saya memang paling suka masa mandi sebab produk mandian Dove yang digunakan bukan saja membantu melembapkan kulit tapi kewangiannya turut menyenangkan hati. Bagi muka pula, saya tak menggunakan produk-produk yang mahal dan hanya melibatkan pencuci muka, toner dan krim pelembab.
Kartini: Setiap hari Tini pasti kena mencuci muka 2 kali sehari. Kalau ada pengambaraan lebih kerap mencuci muka, tidak sekali kali Tini tidur dengan muka yang penuh make up, kecuali kalau terlampau penat. Setiap hari kena lah mandi dengan Dove, Tini suka sanggat wangiannya yang segar dan tak buat kulit rasa kering. Senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu dengan berlari selama 30 min, adalah wajib, kalau tak nanti Tini bad mood kalau tak berpeluh. Tini akan minum air mineral sekurang kurangnya seliter sehari. Sebelum tido Tini akan minum teh hijau untuk meng anti-oxidakan badan.
Apakah yang akan dijangka oleh penonton untuk 3R musim ini?
Raf: Musim ini di 3R penonton-penonton akan melihat lebih banyak gelagat lucu hos-hos dalam membincangkan topik-topik seperti imej badan, masalah hutang, kahwin atur, lelaki dan haid (pasti menarik!), budi bahasa, melancong sambil bekerja, dan lain-lain lagi. Juga, 3R versi Vietnam akan mula diterbitkan dan kami akan ke sana bersama tiga pelatih bertuah!
Celina: Macam musim-musim yang lepas, 3R musim terbaru ni tidak lupa untuk menyiarkan episod-episod yang mengikuti peredaran isu-isu sosial semasa termasuk isu perhubungan antara keluarga, rakan-rakan dan teman istimewa. 3R sentiasa mencari cara-cara yang terbaru dan kreatif mengetengahkan isu-isu ini. Jadi penonton-penonton 3R musim baru ni pasti dijanjikan dengan pelbagai gelagat lucu hos 3R dikongsi bersama dengan mesej-mesej social yang bermakna.
Kartini : Musim ke 13 3R akan menampilkan topic topic yang hanggat dan relavant pada semua. Tini pasti setiap individu yang menonton 3R tak kiralah muda atau tua , lelaki atau perempuan, pasti pernah mengalami atau sedang mengalami dilemma yang kami tampilkan. So watch out.
Adakah anda pernah berasa jemu dalam penglibatan anda dalam 3R?
Raf : Kadangkala memang terasa penat dan ingin bercuti panjang!! Tapi setiap kali membaca surat dari penonton yang mengatakan betapa banyak 3R telah membantu mereka, semua rasa penat tu hilang dan saya jadi bersemangat semula untuk meneruskan 3R.
Celina : Bosan? Dengan aksi-aksi lucu Rafidah, Tini dan krew 3R setiap kali masa penggambaran, siapa-siapa pun tak sempat untuk rasa bosan!
Kartini : Bosan dengan 3R, tak pernah pun. Malah semasa Tini di London sambung Masters, Lina Tan penerbit executive ada tanya sama ada Tini masih lagi berminat nak buat 3R. Tini mula bersama 3R sejak musim ke-6 lagi. Dengan pantas, Tini bentangkan hujah hujah kenapa masih nak buat 3R.Tini rasa bukan untuk penonton sahaja tapi bagi Tini 3R banyak mengajar Tini juga, so kami pun belajar sama-sama dengan penonton tentang isu-isu semasa. Plus kami bertiga cukup serasi bersama, seronok bila kita bekerja dengan kawan-kawan ni, benda tu tak jadi kerja, jadi fun.
Apakah harapan anda untuk 3R yang telah memasuki tahun ketujuh?
Raf: Saya harap 3R akan terus membantu perempuan dan lelaki, ibubapa dan anak serta semua golongan masyarakat memahami satu sama lain, dan pada masa yang sama memberi informasi dan hiburan kepada semua penonton!
Celina: 3R dah pun masuk musim ke-13, sesuatu yang boleh dibanggakan oleh kumpulan kreatif dan krew yang telah berjaya meneruskan program ini sehingga kini. Dan melalui email dan surat serta komen yang diterima oleh peminat dan juga penonton kami, program ini telah dapat membantu pelbagai golongan masyarakat dalam mengahadapi isu-isu social masing-masing. Jadi bagi tahun ini, harapan saya untuk 3R ialah agar ia dapat terus menjadi inspirasi bagi penonton kita untuk menghadapi kesukaran hidup dan mengambil initiatif positif untuk membuat perubahan bukan hanya untuk diri sendiri tapi juga untuk komuniti dan persekitaran mereka.
Kartini: Tini harap rancangan 3R ni akan berterusan, walaupun bukan dengan kami bertiga, mungkin host yang berbeza tapi rancangan tetap ada. Tini juga harap 3R akan berkembang lebih dari hanya satu rancangan TV. Sekarang pun host host 3R begitu aktif dengan aktiviti aktiviti on ground terutama sekali dengan bengkel-bengkel gender dan HIV/AIDS yang kami jalankan disekolah-sekolah dan universiti. Kami rasa ini adalah salah satu cara yang dapat kami sumbangkan pada komuniti.
|