Haryati Abdul Halim tanpa ragu memilih bidang senibina sebagai jalan kariernya.
Kata orang jauh berjalan, luas pengalaman. Begitulah kisah jalan karier arkitek bertauliah, Haryati Abdul Halim. Berusia 34 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur, Haryati seorang yang menghargai kecantikan sesuatu bangunan lebih-lebih lagi bangunan yang menjadi warisan atau pusaka. Mari mengenali Haryati dengan lebih lanjut.
Mengapa kamu memilih bidang senibina?
Mulanya begini: ayah saya seorang diplomat sewaktu saya masih kecil. Waktu itu kami sekeluarga banyak menjelajah ke serata dunia. Sambil merantau di negeri orang, ayah menggalakkan kami untuk menghargai lukisan di muzium-muzium ternama dan menikmati keindahan senibina bangunan-bangunan lama dan bersejarah. Lazimnya, dari situ, saya mula menanam minat dalam bidang senibina dan memilih bidang ini sebagai karier saya.
Apa jenis projek senibina yang menjadi projek impian anda?
Membina sebuah galeri seni atau sebuah memorial. Projek-projek begini begitu mencabar kerana hasilnya harus mampu menyentuh perasaan sesiapa yang memandang.
Apa yang menjadi galakan untuk kamu terus maju dalam karier?
Yang menjadi galakan itu ialah perasaan puas hati ketika sesuatu projek itu selesai. Menyaksikan proses dari awal iaitu ketika ia masih sebuah lakaran, sehinggalah selesai binaannya menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah. Ketika itu, terasa berbaloi segala usaha, penat lelah dan titik peluh.
Apa nasihat kamu kepada mereka yang berminat untuk menjadi seorang arkitek?
Pertama sekali, harus ada passion dalam bidang ini. Bidang senibina ialah suatu proses yang memakan masa yang lama. Sebuah ide boleh menjadi kenyataan tetapi jika tidak ada passion, tidak ada semangat untuk menyahut cabaran atau tidak penyabar, susahlah untuk melaksanakan sebarang ide.
Harus juga ada semangat kerja berkumpulan (teamwork) kerana bidang ini melibatkan ramai tenaga kerja misalnya juruukur, jurutera, arkitek landskap dan juruhias. Jika ada kerjasama antara semua yang terlibat, hasil kerja pasti bermutu tinggi.
Beralih kepada topik kecantikan, apa itu ‘cantik’ pada pandangan kamu?
Cantik ialah apabila kita selesa dengan siapa diri kita dan menerima segala-gala tentang diri kita, iaitu setiap kekuatan serta kelemahan.
Apa rutin kecantikan kamu?
Sekali-sekala, kita harus rileks. Bagi saya, saya suka ke spa untuk urut atau ke salon rambut untuk rawatan rambut. Namun begitu, peraturan kecantikan nombor satu saya ialah - sentiasalah berfikiran positif! Bila ada sikap positif, akan terserlah seri di wajah.
Makan pula jangan sebarang makan. Ada pepatah Inggeris yang bunyinya ‘you are what you eat’ bermaksud jika kita makan makanan yang berkhasiat, tubuh kita akan sihat. Jika kita terlalu kerap makan benda yang manis, maka tubuh akan gedempol. Asasnya, apa sahaja yang dimuatkan ke dalam badan, ada akibat. Baik atau buruk, terpulang pada tabiat pemakanan kita.
Kenali Gadis Dove melalui rancangan 3R, ke udara setiap Ahad, 7.30 malam di TV3
|