Intan memiliki berat badan 50kg iaitu berat badan yg sesuai bagi ketinggiannya, 152 cm.
Gadis kota ini gemar melancung, membuat kek dan pai serta membaca fiksyen.
Intan mendapat pendidikan dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Amerika Syarikat.
Untuk maklumat lanjut mengenai studio Intan, lawati laman web www.studiow.com.my
Kenali Gadis Dove melalui rancangan 3R, ke udara setiap Ahad, 7.30 malam di TV3.
Jejaki rentak peniagawati muda Intan Suraya Hashim.
“Satu! Dua! Hayunkan tangan! Tiga! Empat! Luruskan kaki!” Begitulah aktif dan bertenaganya Intan Suraya Hashim, tenaga pengajar kelas senaman jazzercise di studionya sendiri di Kota Damansara, Petaling Jaya. Kalau tahun lepas gadis lincah ini bekerja di bank menghadap komputer dan pelanggan, tahun ini Intan berhadapan dengan anak-anak muda dan dewasa yang ingin mengamalkan cara hidup sihat. “Saya beruntung kerana inilah perniagaan saya dan ini jugalah cara saya menjaga kesihatan!” kata gadis yang berusia 27 tahun ini. Kami di 3R mengenali Intan dengan lebih dekat.
Ceritakan titik permulaan perniagaan kamu. “Panjang ceritanya (ketawa). Sewaktu saya remaja dahulu, tubuh saya agak gempal. Bermacam-macam bentuk senaman yang saya amalkan tetapi semuanya membosankan. Begitu kaku dan sekadar mengikut rejimen. Bila saya meningkat dewasa, saya mencuba suatu aktiviti baru yang dinamakan jazzercise. Pantas dan bertenaga! Ianya gabungan senamrobik dan senitari. Barulah saya berasa seronok. Berat badan juga mulai turun. Terus saya tertarik untuk mengambil ijazah mengajar jazzercise. Sewaktu itu saya masih bekerja di bank. Asalkan hari minggu, saya ke kelas senaman untuk mengajar jazzercise. Lama-kelamaan, saya mengambil keputusan untuk menjadikan bidang aktif ini sebagai kerjaya saya sepenuh masa. Saya tinggalkan kerja di bank dan mengusahakan modal untuk memulakan perniagaan sendiri. Pengalaman bekerja di bank, saya salurkan terhadap perniagaan ini, dari segi mengatur akaun dan strategi perniagaan. Tiada yang sia-sia.”
Apakah antara cabaran yang dihadapi? "Oh, banyak. Bukannya mudah. Paling getir, sewaktu ingin mendapatkan pinjaman. Itu memang memerlukan kesabaran. Akhirnya saya dan rakan niaga melaburkan duit sendiri serta menerima pinjaman dari ahli keluarga. Mencari kakitangan yang boleh dipercayai juga suatu lagi perkara yang memeningkan kepala. Alhamdulillah, berkat sabar dan tekad ingin berjaya, setiap cabaran dapat kami diatasi. Penat-lelah kami membuahkan hasil. Kini, sudah lima bulan studio ini beroperasi. Syukur, sambutannya menggalakkan."
Apa nasihat kamu untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan sendiri? "Kaji pasaran kamu. Pastikan kamu tahu siapa sasaran kamu, dan bagaimana kamu harus menarik minat pelanggan. Baca buku yang menerangkan bagaimana untuk memulakan perniagaan. Minta nasihat dari mereka yang arif dan berpengalaman dalam bidang perniagaan. Jangan segan bertanya.
Studio kamu khas untuk wanita. Mengapa kamu memilih konsep ini? “Berbanding bersenam di pusat jim ternama, bersenam cara begini lebih selesa. Bukan semua wanita rela berpeluh dan berhempas-pulas menguruskan badan sambil disaksikan kaum lelaki! Saya memang mahukan persekitaran yang tidak maintain. Suatu persekitaran di mana wanita tidak payah memikirkan hal gincu atau bedak, atau hal fesyen senaman terkini . Hanya perlu rileks dan tumpukan perhatian terhadap kesihatan tubuh badan."
Bagaimana mencari motivasi untuk bersenam? "Cari teman seperjuangan. Beri galakan antara satu sama lain. Lebih seronok jika pergi ke kelas senaman bersama teman-teman dari pergi sendirian. "
Apa itu ‘cantik’? “Cantik itu terletaknya pada faktor yang berbeza kerana setiap kita ada keistimewaan masing-masing. Pada saya, paling menyerlah dalam erti kecantikan itu adalah keyakinan diri. Tanpa keyakinan diri, cantik di wajah belum tentu menawan.”
Apa pendapat kamu tentang penjagaan kulit, rambut dan kulit badan? “Saya mengambil berat hal penjagaan kulit muka dan tubuh. Mungkin hasil pengaruh ibu saya. Ibu sentiasa berpesan, kulit jangan dibiarkan kering. Dalam bag ibu, sentiasa ada krim pelembap, kerana itu dalam bag saya juga ada krim pelembap! Kadangkala teman-teman saya mentertawakan saya kerana saya asyik meninggalkan tiub krim merata-rata. Saya tak kisah membelinya berulang-kali. Janji kulit sentiasa dilembapkan. Hal jagaan rambut, saya utamakan apa yang cepat. Jadi saya menggunakan syampu dua-dalam-satu. Tentang jagaan badan, saya menggunakan span penyental badan (loofah). Maklum sahaja, kerjaya saya menyebabkan saya banyak berpeluh jadi saya perlu menggosok permukaan kulit untuk menyahkan kotoran.”