|
“Kamera, lights, action!” kata Zarina Abdullah, pengarah filem baru yang ingin meninggalkan jejaknya dalam industri filem negara.
Ingatkah anda filem seram Chermin yang baru ditayangkan beberapa bulan yang lepas? Pengarahnya seorang gadis berusia 27 tahun, Zarina Abdullah yang berasal dari Sarawak. Beliau merupakan seorang jurutera sivil yang begitu berminat untuk mengarah filem sehingga mengambil kursus perfileman untuk mencapai impiannya. 3R mengajukan pelbagai soalan kepada Zarina, dan mengenalinya dengan lebih lanjut.
Bagaimana seorang jurutera sivil boleh terlibat dengan bidang perfileman?
Kerana minat, saya turutkan hati untuk mengejar apa yang sudah lama saya idamkan. Di sekolah dahulu, saya setakat menulis cerita-cerita pendek Bila saya pelajari kursus perfileman, saya menulis skrip pula. Tamatnya kursus tersebut, saya membuka syarikat filem saya sendiri iaitu Starry Eye Productions. Kakak saya Ummi Khaltoum Abdullah sebagai penerbit dan saya sebagai pengarah. Hasil kerjasama kami yang pertama ialah Chermin.
Pernahkah kamu dahulu terfikir yang kamu akan, suatu hari nanti, bergelar ‘pengarah filem’?
Tidak. Itu hanya setakat angan-angan saya semasa kecil. Itu pun kerana begitu minat menonton wayang, jadi saya bayangkan yang sayalah tukang membuat wayang! Hingga sekarang, saya masih tidak percaya yang saya dipanggil pengarah filem. Satu angan-angan telah menjadi kenyataan.
Kenapa kamu memilih genre filem seram?
Kerana saya sendiri minat filem seram. Menonton filem seram di rumah sudah menjadi suatu aktiviti bersama di kalangan ahli keluarga! Apabila mendapat peluang membuat filem, nah, apa lagi? Filem seramlah yang saya pilih. Namun begitu, saya tidak menganggap Chermin sebuah filem seram yang tulin. Saya sekadar menggunakan elemen seram sebagai perantara atau medium yang dapat menyampaikan sesuatu mesej. Malah, kritik mengatakan yang Chermin ialah suatu filem feminist.
Apa pendapat kamu mengenai industri perfileman negara?
Ada juga kemajuan yang dicapai tetapi kita masih merupakan satu industri yang kecil jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Kemajuan yang ketara sekarang ialah dari segi mutu dan kandungan filem. Banyak lagi yang perlu dibaiki, tetapi ini akan memakan masa. Namun begitu, penonton kita sekarang sudah mula menghargai content filem tempatan sepertimana mereka menghargai filem-filem Hollywood. Pada saya, itu merupakan satu kemajuan dalam nilai terbitan filem.
Dari segi teknikal, kekurangan kita ialah dari sudut efek khas dan efek visual. Tidak ramai yang ingin mencuba filem menggunakan efek khas. Ini mungkin kerana kita kekurangan tenaga manusia dan kepakaran teknikal. Skrip juga tidak dikembangkan dengan sempurna, kerana penerbit ingin cepat siapkan filem. Jika ingin maju, kita harus mengambil sedikit masa supaya kita berpuas hati dengan hasil kerja.
Sebagai seorang yang berjiwa kreatif, apa yang mencetuskan ilham kamu?
Segala-galanya. Apa sahaja yang saya baca atau lihat. Mungkin dari sekeping gambar atau sebuah bayangan mimpi.
Jika bajet tidak menjadi masalah, apa jenis filem yang kamu ingin buat?
Sebuah musikal fantasi yang menggunakan efek khas, di mana mimpi boleh dijadikan kenyataan. Atau kelihatan seperti kenyataan.
Pada pendapat kamu, apa erti kecantikan?
Untuk menjawab soalan ini, saya ingin meminjam kata-kata pendidik, penulis dan aktivis masyhur abad ke-19 iaitu Helen Keller, seorang yang cacat penglihatan dan pendengaran. Katanya, ‘…yang paling baik dan cantik di dalam dunia ini tidak dapat dilihat atau disentuh. Ia mesti dirasai di dalam hati.’
Bagaimana kamu menjaga kecantikan kulit, rambut dan badan?
Saya minum air secukupnya. Selain mencuci muka, saya percayakan faedah menggunakan scrub dan pelembap. Saya juga mengamalkan rawatan salon seminggu sekali untuk melembapkan rambut. Jika tidak sempat, saya setakat menggunakan masker rambut di rumah. Solekan pula, saya menggunakan lapisan yang amat minimal supaya kelihatan seperti tidak memakai make up langsung! Bedak asas, pemerah pipi, maskara dan pelembap bibir. Cukuplah sekadar itu. Saya pernah juga mencuba krim mandian Dove. Saya suka baunya. Bau yang segar. Kulit pula terasa lembut selepas memakainya.
Kenali Gadis Dove melalui rancangan 3R, ke udara setiap Ahad, 7.30 malam di TV3
|