Setiap kali terlibat dalam sesuatu persembahan, sama ada persembahan skala besar seperti adaptasi Shakespeare versi tempatan ‘A Midsummer Night’s Dream’ yang pernah dipentaskan di Georgetown Heritage Festival ataupun persembahan skala kecil seperti sketsa-sketsa teater ketika di bangku sekolah lagi, komen yang biasa saya dengar adalah, “Aiyah Sarah! Mudahlah untuk orang seperti awak berlakon! Awak kan jenis outgoing! ‘
Jangkaan kawan-kawan adalah orang yang berpersonaliti ekstrovert secara semulajadi akan cemerlang dalam seni persembahan. Jadi bagaimana pula dengan mereka yang bersifat introvert ? Adakah jenis personaliti yang seseorang penting dalam industri pementasan?
Ekstrovert biasanya digambarkan sebagai seorang peramah, suka bercakap dan mudah bergaul dengan orang ramai. Saya sendiri mengaku sebagai seorang extrovert. Saya rasa mudah bertutur di khalayak ramai dan personaliti saya banyak membantu dalam interaksi saya dengan rakan-rakan teater lain. Saya juga mudah menyesuaikan diri dalam persekitaran baru.
Seorang introvert pula lebih bersifat memendam rasa namun ini tidak bermaksud dia pemalu tapi seorang yang pendiam dan secara umumnya tidak suka bergaul atau bersosial. Tapi adakah keperibadian introvert ini akan menghalang mereka dari mencapai kecemerlangan terutama sekali dalam bidang seni persembahan? Semestinya tidak. Bagi saya bidang lakonan membolehkan sesiapa sahaja menjadi dan mendalami apapun watak selain daripada diri mereka yang sebenar. Yang penting adalah keupayaan seseorang itu untuk “lupa diri”. Maka walaupun seseorang itu introvert dia juga boleh cemerlang dalam persembahan. Malah, persoliti ekstrovert sendiri bukan bukan penentu kejayaan seseorang sebagai pelakon!
Bakat tidak memilih personaliti. Dan walaupun lakonan yang baik boleh dipupuk melalui latihan dan kerja keras ia masih bergantung kepada bakat individu tersebut. Saya percaya sekiranya seorang introvert mahupun ekstrovert mempunyai bakat, dia boleh berjaya dalam bidang ini dengan galakan dan dorongan yang secukupnya.
Ada yang mungkin terkejut mendapat tahu ramai antara pelakon-pelakon handal sebenarnya individu-individu yang bersifat introvert. Contohnya, pelakon Hollywood Julia Roberts. Jika dinilai dari persembahannya dalam filem Erin Brockovich (2000), Pretty Woman (1990) dan beberapa filem lain beliau, mungkin tak sangka beliau seorang introvert. Wataknya dalam filem-filem ini lantang dan bersemangat. Selain Julia bintang-bintang handal Hollywood seperti Tom Hanks dan Harrison Ford juga merupakan individu-individu introvert. Dan tak perlu cari yang jauh-jauh, Rafidah Abdullah bekas hos 3R juga seorang introvert. Namun itu tidak menghalangnya daripada menjadi seorang hos, pelakon dan penulis yang berjaya.
Kita tidak boleh menghadkan diri kita mengikut jenis personaliti. Perkara yang penting dan harus kita sentiasa ingat adalah sekiranya kita mempunyai minat yang membara untuk melakukan sesuatu pastikan semangat itu kekal membara. Dengan usaha, latihan, sikap yang positif dan sentuhan bakat semestinya kita itu boleh berjaya dan cemerlang.
One Comment