Whats On
Season Listing
Past Episode Guide
The Hosts
About the Show
The 3R Crew

Press & Media

Press Releases
Media Clippings
Press Reviews

 


PRESS & MEDIA

 

Kembali Untuk Musim Ke-8!

3R – Respek, Relaks, Respon, iaitu rancangan televisyen untuk wanita muda, akan kembali ke udara bagi musim kelapannya yang dinanti-nantikan, pada hari Ahad, 4 Julai, jam 7:30 malam di TV3. Kali ini, 3R dibawakan ke kaca TV oleh penaja-penaja sebelumnya, Maybelline dan Kotex, serta penaja-penaja baru iaitu Lipton, Hotlink dan Gillette.

Musim baru ini menjanjikan banyak lagi topik yang menarik dan ‘panas’, seperti ‘gangsterisme’ di kalangan remaja, khidmat negara, keganasan terhadap wanita, teman lelaki tua, masalah kebersihan diri, persaingan adik-beradik, perhubungan jarak jauh, ‘fitness’, dan banyak lagi. 3R juga akan menampilkan ciri interaktif baru di mana para penonton boleh menghantar SMS untuk mendapatkan maklumat yang telah diberi di dalam rancangan setiap minggu.

Walau bagaimanapun, yang paling menarik musim ini pastilah dua orang ahli baru yang menyertai keluarga 3R. Yuen, hos 3R selama 7 musim, kini sibuk dengan ahli keluarga 3R yang termuda (dan tercomel!) iaitu anak perempuannya yang baru saja dilahirkan. Bagi meringankan jadual kerjanya, beliau akan melangkah ke tepi untuk membuka jalan bagi wajah baru, Celina Khor.

“Kami memang mengalu-alukan kedatangan Celina ke rancangan ini,” kata Penerbit Eksekutif Marina Mahathir. Penerbit Eksekutif Bersama Lina Tan menambah, “Kami telah menguji bakat lebih dari 500 orang, sama ada yang dikenali ataupun tidak, bagi mencari calon terbaik untuk digandingkan dengan hos-hos 3R Azah dan Kartini. Dengan perwatakannya yang mudah didekati serta minatnya yang mendalam terhadap isu-isu sosial, kami percaya Celina adalah pilihat tepat untuk mewakili wanita muda.”


Sambungan Dari Musim Yang Lalu…

Bagaimana pula dengan hos-hos 3R yang lain? Walaupun sudah lama tidak muncul di kaca televisyen, mereka masih giat mengejar pencapaian yang seterusnya.

Low Ngai Yuen yang bunting pelamin berikutan perkahwinannya November lepas tak henti-henti mencari pengalaman baru sebagai pengarah televisyen dan teater, sambil merakamkan pengalamannya sebagai seorang bakal ibu di dalam rancangan TV baru untuk ibubapa terbitan Red Communications. Dengan kelahiran Wong Zi-En, perhatiannya kini tertumpu kepada anak kesayangannya itu, serta projek barunya sebagai salah seorang pengarah antologi filem seram Cina yang akan ditayangkan Ogos nanti. Peminat-peminatnya tidak perlu risau tentang kehilangannya dari 3R, kerana beliau akan muncul dalam rancangan ini dari masa ke semasa, di samping mengarah beberapa episod.

Tidak puas dengan ijazah Sarjana Muda Undang-undang yang diperolehinya dari Universiti Teknologi Mara, si manis tinggi lampai Azah Yazmin Yusof baru-baru ini telah menamatkan kursus Diploma dalam Undang-undang dan Amalan Syariah di Universiti Islam Antarabangsa. Azah yang tidak pernah berhenti belajar akan meneruskan lagi pengajiannya di UK akhir tahun ini bagi mendapatkan ijazah Sarjana dalam bidang Penyiaran dan Kewartawanan. Dia juga baru saja mempelajari kemahiran baru iaitu ‘scuba diving’ dan kini merupakan penyelam yang bertauliah. Tidak lama lagi, beliau akan muncul dalam filem baru arahan Teoh Ming Jin bersama Kartini.

Hos 3R yang kini tidak asing lagi, Kartini Kamalul Ariffin, telah mula meneroka bidang hiburan secara serius dan tidak melepaskan apa-apa peluang yang datang. Dari mengendalikan rancangan TV dan acara langsung, beliau kini beralih pula ke radio dan bidang lakonan. Para pendengar boleh mengikuti celoteh beliau melalui rancangan Kafe 1049 di Red FM setiap Sabtu dan Ahad dari jam 7 hingga 10 pagi. Selain berlakon dalam sebuah filem baru bersama Azah, beliau juga akan muncul dalam muzik video terbaru Anuar Zain, Semuanya Untukmu.

Mereka yang telah lama mengikuti 3R pasti ingat salah seorang hos asal 3R yang telah mengundurkan diri di akhir musim ke-5 setelah mendapat biasiswa dari The British Council untuk kursus lepas ijazah di England. Rafidah Abdullah kini telah kembali dengan lulusan ‘Distinction’ bagi ijazah Sarjana dalam Penulisan Skrip dari Goldsmiths College. Sekembalinya dari London, Rafidah begitu sibuk mengendalikan bengkel-bengkel penulisan skrip serta menulis skrip-skrip untuk iklan, drama TV, video persembahan, video pendidikan serta sebuah filem yang akan diterbitkan oleh Red Communications hujung tahun nanti. Bagi musim baru 3R ini, beliau akan memikul tanggungjawab sebagai salah seorang penulis dan pengarah utama, di samping sekali-sekala muncul sebagai pelakon undangan.


Dibawakan Kepada Anda Oleh 3R

3R juga tidak banyak berehat antara musim. Setelah tamat musim ke-7, 3R masih sibuk mengelolakan bengkel gender dan keselamatan yang dipanggil ‘Survival Series’. Awal tahun ini, 3R telah menganjurkan dua acara sempena Hari Wanita Sedunia, iaitu Pertandingan Futsal Wanita 3R dan juga acara dua hari yang dinamakan A Girl’s Day Out.

Pertandingan futsal tersebut telah mencatatkan jumlah penyertaan terbanyak bagi acara futsal wanita di Malaysia, dengan 64 pasukan yang mengambil bahagian termasuk pasukan dari Singapura. A Girl’s Day Out juga mendapat sambutan hebat dan telah dikunjungi lebih kurang 20,000 orang sehari. Dengan persembahan oleh para penyanyi popular dan kumpulan-kumpulan remaja, gerai-gerai maklumat oleh pertubuhan bukan kerajaan, kuiz-kuiz, pertunjukan seni mempertahankan diri, dan deklamasi senarai harapan remaja di hadapan Ketua Polis Negara, acara ini sekaligus menawarkan aktiviti-aktiviti menarik serta mesej-mesej serius tentang isu-isu sosial.

3R juga kini terdapat dalam bentuk VCD. Dua musim lepas, iaitu yang telah disiarkan tahun lalu, kini boleh dibeli dari kedai-kedai video di serata negara. VCD tersebut dikeluarkan dalam dua set, iaitu Musim Ke-6 dan Musim Ke-7.


3R Menjelajah Dunia!

Kemenangan 3R di dalam Asian Television Awards 2002 telah membuktikan yang rancangan ini mempunyai tarikan antarabangsa. Tak hairanlah, Kotex telah memutuskan untuk membuka jalan bagi 3R untuk mengibarkan sayapnya ke negara-negara lain di sekitar rantau Asia. Syarikat multinasional tersebut telah menandatangani kontrak untuk menaja 3R di 4 buah negara: Filipina, Indonesia, Negara Thai dan Vietnam.

Menggunakan format sama yang telah mendapat sambutan baik di Malaysia, rancangan ini akan diterbitkan secara tempatan di setiap negara tersebut dengan hos-hos dan kandungan tempatan. 3R Filipina sudahpun dalam proses pembikinan dan akan ke udara di negara tersebut pada bulan Ogos.

“Isu wanita muda, seperti keselamatan, kerjaya, kesihatan dan perhubungan, adalah sama di mana-mana pun, tapi amat penting yang penonton dapat melihat diri mereka di dalam hos rancangan itu,” kata Marina. “Sebab itulah kami tidak mengeksport saja episod 3R yang sedia ada, seperti yang kami lakukan di Singapura. Kami rasa lebih baik jika negara lain membuat versi 3R sendiri menggunakan bahasa mereka sendiri.”

Sambung Lina, “Walau bagaimanapun, kami tetap ingin mengekalkan tahap mutu kami, kerana 3R memang dikenali sebagai rancangan televisyen berkualiti. Oleh sebab ini, kami akan memainkan peranan sebagai perunding bagi setiap episod yang diterbitkan di negara-negara tersebut. Pada waktu ini, Penerbit/Pengarah kami iaitu Anna Har sering terbang pergi dan balik dari Filipina untuk menyelia penerbitan 3R di sana. Bagi penonton-penonton di Malaysia pula, tak lama lagi kita akan mendapat berita mingguan tentang aktiviti-aktiviti remaja wanita di Filipina!”


Budak Baru: Celina

Anak kelahiran Melaka ini telah banyak merantau semasa kecil oleh sebab jawatan bapanya sebagai pegawai kerajaan di dalam Jabatan Pertanian. Keluarga ini akhirnya menetap di Kota Bharu, Kelantan, di mana Celina membesar sehinggalah usia remaja. Di Kota Bharu, Celina banyak menghabiskan masa menjelajah bandar menggunakan basikal BMXnya, serta mewakili sekolah dalam taekwondo dan permainan skuasy.

Keluarganya berpindah lagi pada tahun 1993 dan menetap pula di Subang, Selangor, di mana mereka tinggal hingga hari ini. Celina yang ketika itu hanya berusia 15 tahun mendapat kejutan budaya apabila dia mendaftar di sekolah barunya, kerana beliau tidak pernah melihat pengasingan sosial di kalangan pelajar berdasarkan bangsa. Celina yang tidak begitu pasti bagaimana untuk menyesuaikan diri akhirnya menumpukan saja perhatiannya terhadap pelajaran. Keputusan STPM Celina cukup baik untuk membolehkannya memohon untuk kursus Sarjana Muda Kejuruteraan, dan dalam tahun 1998 beliau diterima masuk ke Universiti Malaysia Sabah.

Setelah dua tahun belajar, Celina membuat keputusan yang berani untuk membelok dari perjalanan biasa seorang pelajar: beliau mengambil cuti selama dua tahun dari kursusnya untuk menjadi sukarelawan. Pada beliau, pasti hidup ini lebih dari kelulusan akademik semata-mata, dan Celina ingin lebih banyak melihat dunia sebelum menyahut cabaran tangga korporat.

Oleh itulah, melalui kawan-kawannya, beliau terlibat dengan Pink Triangle, suatu organisasi rakyat yang bekerja dengan komuniti-komuniti terpinggir seperti kaum Mak Nyah, penagih dadah, pekerja seks dan mereka yang HIV positif.

“Kerja tersebut betul-betul membuka mata saya kepada masalah yang dihadapi oleh mereka,” kata Celina. “Sebelum itu, saya mempunyai pandangan stereotaip dan prejudis yang biasa, tetapi saya telah belajar untuk bersimpati dan tidak semata-mata mengkritik. Saya juga banyak belajar tentang HIV dan AIDS! Saya bersyukur kerana berpeluang mendapat pengalaman ini. Ia telah menjadikan saya manusia yang lebih baik.”

Pada tahun 2002, Celina telah kembali ke Sabah untuk meneruskan pengajiannya dan tahun ini dia muncul sebagai seorang graduan dan jurutera bertauliah. Sementara menantikan tawaran kerja dari sebuah syarikat petroleum terkemuka, Celina mendapat tahu tentang ujibakat untuk hos 3R yang baru. Beliau terus mencuba, tanpa menyangka yang beliau akan dipilih!

“Saya memang sudah lama meminati 3R; ia adalah salah satu rancangan yang betul-betul memfokus terhadap isu,” kata Celina. “Menyertai 3R adalah impian saya. Walaupun sektor korporat menjanjikan kerjaya yang stabil, namun bukan semua orang mendapat peluang ini dan saya tidak mahu menyesal kemudian hari. Memandang ke depan, saya tahu yang saya akan lebih matang dari pengalaman ini.”